
Sinar Harian 17 Jun 2010
REMBAU - Rungutan peniaga pasar malam mengenai bayaran sewa dan beberapa masalah berkaitan pasar malam di daerah itu menarik perhatian Parti Keadilan Rakyat (PKR) Cabang Rembau.
Ketuanya, Badrul Hisham Shaharin berkata, pihaknya menerima aduan dan maklumat mengenai bayaran sewa tapak dan beberapa isu pengurusan pasar malam yang didakwa menyusahkan peniaga kecil.
Menurutnya, pihaknya menyokong peniaga diwajibkan mengambil lesen supaya lebih mudah diselia namun jumlah sebanyak RM130 adalah amaun terlalu besar kepada peniaga kecil yang memiliki pendapatan tidak menentu.
“Keadaan ini tentunya merunsingkan peniaga, tambahan ekonomi negara sekarang tidak menentu menyebabkan mereka berasa tertekan apabila memikirkan masalah ini,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas menghantar memorandum di Pejabat Daerah Rembau (MDR), dekat sini.
Badrul Hisham berkata, masalah bertambah rumit apabila peniaga terpaksa membayar kutipan sampah tiga bulan sekali.
“Keadaan ini pastinya mendatangkan kesulitan terutama apabila berdepan situasi hari hujan, kenderaan rosak dan mengalami masalah kesihatan.
“Sudah tentu mereka tidak boleh berniaga tetapi terpaksa membayar wang kutipan sampah tapak walaupun tidak berniaga. Wang ini dikutip lebih daripada satu tapak. Bayangkan berapa jumlah peniaga terpaksa bayar kalau meniaga lebih daripada satu pasar malam,” katanya.
Menurutnya, peniaga bukan sahaja dibebani pelbagai bayaran dan peraturan tetapi kewujudan gerai haram turut menjejaskan periuk nasi mereka di sini.
“Pihak penguat kuasa perlu bertindak proaktif bagi mengesan gerai haram ini.
“Ini kerana tanpa penguatkuasaan yang rapi masalah ini sukar dibendung dan peniaga kecil terpaksa pula bersaing dengan peniaga haram ini. Keadaan ini memberi tekanan kepada peniaga kecil,” katanya.
Beliau berkata, pihaknya mencadangkan supaya MDR membuat pertimbangan semula mengenai bayaran lesen dan menghapuskan atau mengurangkan bayaran wang cagaran menjadi RM50.
“Jumlah yang tinggi menyebabkan peniaga tertekan dan dihantui masalah kewangan dengan pendapatan tidak menentu,” katanya.
Menurutnya, cara kutipan baru iaitu tiga bulan sekali yang diperkenalkan mungkin kerana kekurangan kakitangan.
“Oleh itu, pihak kami mencadangkan tapak pasar malam diberikan kepada organisasi masyarakat atau persatuan peniaga kecil pasar malam itu sendiri.
“Kutipan juga dapat dikembalikan kepada bentuk asal dan MDR boleh mengutip lesen serta bayaran daripada pengendali tapak pasar malam sahaja untuk mengatasi masalah peniaga haram,” katanya.
Badrul Hisham berkata, pihaknya tidak berniat untuk mempolitikkan isu itu tetapi ingin melihat pembelaan sewajarnya kepada peniaga kecil supaya suara hati mereka dapat disampaikan kepada pihak berkenaan.
“Kami bersedia bekerjasama mencari formula terbaik dalam memastikan daerah ini terurus dan mampu membela nasib peniaga kecil,” katanya.
Sementara itu, Yang Dipertua MDR, Mohd Rawi Baharom ketika dihubungi berkata, pihaknya sedia maklum berkaitan masalah yang dihadapi peniaga kecil.
Menurutnya, masalah itu sudah pun dipanjangkan kepada Kerajaan Negeri setelah meneliti dan mengkaji masalah yang dikemukakan peniaga beberapa minggu lalu untuk perhatian dan tindakan lanjut.
“Buat masa ini pihak kami menunggu jawapan melalui usul dibawa ke peringkat atasan. Saya harap peniaga pasar malam dapat bersabar.
“Pihak kami tidak pernah mengabaikan setiap masalah diberikan apatah lagi menindas peniaga kecil untuk mencari rezeki,” katanya.
http://www.sinarharian.com.my/mns/content/story7823799.asp